Nabi Musa ‘Alaihi Sholatu was Salam


Kelahiran Nabi Musa

Nabi Musa diutuskan oleh Allah bagi memimpin Bani Israil ke jalan benar. Beliau merupakan anak kepada Imran dan Yukabad binti Qahat, (Musa bin Imran bin Qohath bin Lewi bin Yakqub bin Ishaq bin Ibrahim), bersaudara (adik-beradik mengikut sesetengah periwayatan) dengan Nabi Harun, dilahirkan di Mesir pada pemerintahan Firaun.

Firaun Dengan Mimpi

Waktu kelahirannya cukup cemas kerana Firaun menguatkuasakan undang-undang supaya setiap bayi lelaki yang dilahirkan terus dibunuh. Tindakan itu diambil kerana dia sudah terpengaruh dengan ahli nujum yang mentafsirkan mimpinya. Firaun bermimpi Mesir terbakar dan penduduknya mati, melainkan kalangan Kaum Israel, sedangkan ahli nujum mengatakan kuasa negara itu akan jatuh ke tangan lelaki Kaum Israel. Disebabkan khuatir, dia memerintahkan setiap rumah digeledah dan jika mendapati bayi lelaki perlu dibunuh.

Ibu Nabi Musa, Yukabad melahirkan seorang bayi lelaki (Musa) dan kelahiran itu dirahsiakan. Kerana merasa bimbang dengan keselamatan Musa, apabila musa mencecah umur tiga bulan Musa dihanyutkan ke Sungai Nil. Musa yang terapung di sungai itu ditemui isteri Firaun , Asiah sendiri ketika sedang mandi dan tanpa berlengah dibawanya ke istana. Melihat isterinya membawa seorang bayi, Firaun dengan tidak teragak-agak menghunuskan pedang untuk membunuh Musa. Asiah berkata: “Janganlah dibunuh anak ini kerana aku menyayanginya. Baik kita menjadikannya seperti anak sendiri kerana aku tidak mempunyai anak.” Dengan kata-kata dari Asiah tersebut, Firaun tidak sampai hati untuk membunuh Musa.

Nabi Musa Bertemu ibunya

Kemudian Asiah mendapatkan pengasuh tetapi tidak seorang pun yang dapat mendodoikan Musa dengan baik, malah dia asyik menangis dan tidak mahu disusui. Selepas itu, ibunya sendiri tampil untuk mengasuh dan membesarkannya di istana Firaun.Al-Quran menghuraikan peristiwa itu: “Maka Kami kembalikan Musa kepada ibunya supaya senang hatinya dan tidak berdukacita dan supaya dia mengetahui janji Allah itu benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.”

Pada satu hari, Firaun mendukung Musa yang masih kanak-kanak, tetapi dengan tiba-tiba janggutnya ditarik hingga dia kesakitan, lalu berkata: “Wahai isteriku, mungkin kanak-kanak ini yang akan menjatuhkan kekuasaanku.” Isterinya berkata: “Sabarlah, dia masih kanak-kanak, belum berakal dan mengetahui apa pun.” Sejak berusia tiga bulan hingga dewasa Musa tinggal di istana itu sehingga orang memanggilnya Musa bin Firaun. Nama Musa sendiri diberi keluarga oleh Firaun. “Mu” bermakna air dan “sa” bermaksud pokok sempena tempat penemuannya di tepi Sungai Nil oleh Asiah.

Mukjizat Nabi Musa hadapi Firaun

Meleraikan pergaduhan

Kisah pertembungan di antara mukjizat Nabi Musa dengan sihir dari tukang sihir firaun dikata bermula disebab satu peristiwa di mana pada satu ketika semasa Musa mengambil meninjau di sekitar kota dan kemudian beliau terserempak dua lelaki sedang berkelahi, masing-masing di kalangan Bani Israel bernama Samiri dan bangsa Firaun, Fatun. Melihatkan pergaduhan itu Musa mahu mententeramkan mereka, tetapi ditepis Fatun. Tanpa berlengah Musa terus menghayunkan satu penumbuk ke atas Fatun, lalu tersungkur dan meninggal dunia.

Apabila mendapati lelaki itu meninggal dunia kerana tindakannya, Musa memohon ampun kepada Allah seperti dinyatakan dalam al-Quran: “Musa berdoa: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiayai diriku sendiri kerana itu ampunilah aku. Maka Allah mengampuninya, sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Nabi Musa keluar dari Mesir dan berkahwin

Tidak lama kemudian orang ramai mengetahui kematian Fatun disebabkan Musa dan berita itu turut disampaikan kepada pemimpin kanan Firaun. Akhirnya mereka mahu menangkap Musa. Disebabkan terdesak, Musa mengambil keputusan keluar dari Mesir. Beliau berjalan tanpa arah dan tujuan, tetapi selepas lapan hari, beliau sampai di kota Madyan, iaitu kota Nabi Syu’aib di timur Semenanjung Sinai dan Teluk Aqabah di selatan Palestin.

Musa tinggal di rumah Nabi Syu’aib a.s. (Jethro) beberapa lama sehingga berkahwin dengan anak gadisnya bernama Ṣaffūrah (Zipporah). Selepas menjalani kehidupan suami isteri di Madyan, Musa meminta izin Syu’aib untuk pulang ke Mesir.

Berbicara dengan Allah

Dalam perjalanannya itu, akhirnya baginda dan isterinya tiba di Bukit Sinai. Dari jauh, baginda ternampak api, lalu terfikir mahu mendapatkannya untuk dijadikan penyuluh jalan. Baginda meninggalkan isterinya sebentar untuk mendapatkan api itu. Apabila sampai di tempat api menyala itu, baginda mendapati api menyala pada sebatang pokok, tetapi tidak membakar pokok berkenaan. Ini menghairankannya dan ketika itu baginda terdengar suara wahyu daripada Tuhan.

Selepas itu Allah berfirman kepadanya, bermaksud: “….Wahai Musa sesungguhnya Aku Allah, iaitu Tuhan semesta alam.”

Firman-Nya lagi, bermaksud: “Dan lemparkan tongkatmu, apabila tongkat itu menjadi ular Musa melihatnya bergerak seperti seekor ular, dia berundur tanpa menoleh. Wahai Musa datanglah kepada-Ku, janganlah kamu takut, sungguh kamu termasuk orang yang aman.”

Selepas itu Allah berfirman lagi kepada Musa, maksudnya: “Masukkan tanganmu ke leher bajumu, pasti keluar putih bersinar dan dakapkan kedua tanganmu ke dada kerana ketakutan….”. Tongkat baginda yang bertukar menjadi ular dan tangan putih berseri-seri itu adalah dua mukjizat yang dikurniakan Allah kepada Nabi Musa.

Pulang ke Mesir dan berhadapan dengan ahli sihir firaun

Tatkala baginda dalam perjalanan pulang dari Madyan ke Mesir, bagi menghadapi Firaun dan pengikutnya yang fasik. Firaun cukup marah mengetahui kepulangan Musa yang mahu membawa ajaran lain daripada yang diamalkan selama ini sehingga memanggil semua ahli sihir untuk mengalahkan dua mukjizat berkenaan. Ahli sihir Firaun masing-masing mengeluarkan keajaiban, ada antara mereka melempar tali terus menjadi ular. Namun, semua ular yang dibawa ahli sihir itu ditelan ular besar yang berasal daripada tongkat Musa.

Firman Allah bermaksud: “Dan lemparkanlah apa yang ada di tangan kananmu, pasti ia akan menelan apa yang mereka buat. Sesungguhnya apa yang mereka buat itu hanya tipu daya tukang sihir dan tidak akan menang tukang sihir itu dari mana saja ia datang.”

Semua keajaiban ahli sihir itu ditewaskan Musa menggunakan dua mukjizat berkenaan, menyebabkan sebahagian daripada kalangan pengikut Firaun, termasuk isterinya mengikuti ajaran yang dibawa Musa. Melihatkan ahli sihir dan sebahagian pengikutnya beriman dengan ajaran Nabi Musa, Firaun marah, lalu menghukum golongan berkenaan. Manakala isterinya sendiri diseksa hingga meninggal dunia.

Nabi Musa membelah laut dan tenggelamnya firaun dan kuncu-kuncunya

Nabi Musa bersama orang beriman terpaksa melarikan diri sehingga mereka sampai di Laut Merah. Dengan kuasa Allah, laut itu terbelah dan mereka dapat melintasinya. Namun, Firaun dan tenteranya yang sudah mengamuk mengejar mereka dari belakang, tetapi mereka semua mati ditenggelamkan laut.

Al-Quran menceritakan: “Dan ingatlah ketika Kami belah laut untukmu, lalu Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun dan pengikutnya sedang kamu sendiri menyaksikan.”

Nabi Musa bermunajat di Bukit Sina

SELEPAS keluar dari Mesir, Nabi Musa bersama sebahagian pengikutnya dari kalangan Bani Israel menuju ke Bukit Sina untuk mendapatkan kitab panduan daripada Allah. Namun, sebelum itu Musa disyaratkan berpuasa selama 30 hari pada Zulkaedah. Ketika mahu bermunajat, beliau beranggapan bau mulutnya kurang menyenangkan. Beliau menggosok gigi dan mengunyah daun kayu, lalu perbuatannya ditegur malaikat dan beliau diwajibkan berpuasa 10 hari lagi.Dengan itu puasa Musa genap 40 hari.

Sewaktu bermunajat, Musa berkata: “Ya Tuhanku, nampakkanlah zatMu kepadaku supaya aku dapat melihatMu.” Allah berfirman: “Engkau tidak akan sanggup melihatKu, tetapi cuba lihat bukit itu. Jika ia tetap berdiri tegak di tempatnya seperti sediakala, maka nescaya engkau dapat melihatku.” Musa terus memandang ke arah bukit yang dimaksudkan itu dan dengan tiba-tiba bukit itu hancur hingga masuk ke perut bumi, tanpa meninggalkan bekasnya.Musa terperanjat dan gementar seluruh tubuh lalu pengsan.

Bertasbih

Apabila sedar, Musa terus bertasbih dan memuji Allah, sambil berkata: “Maha besarlah Engkau ya Tuhan, ampuni aku dan terimalah taubatku dan aku akan menjadi orang pertama beriman kepadaMu.” Sewaktu bermunajat, Allah menurunkan kepadanya kitab Taurat. Menurut ahli tafsir, ketika itu kitab berkenaan berbentuk kepingan batu atau kayu, namun padanya terperinci segala panduan ke jalan diredhai Allah.

Sebelum Musa pergi ke bukit itu, beliau berjanji kepada kaumnya tidak akan meninggalkan mereka lebih 30 hari. Tetapi Nabi Musa tertunda 10 hari, kerana terpaksa mencukupkan 40 hari puasa. Bani Israel kecewa dengan kelewatan Musa kembali kepada mereka. Ketiadaan Musa membuatkan mereka seolah-olah dalam kegelapan dan ada antara mereka berfikir keterlaluan dengan menyangka beliau tidak akan kembali lagi. Dalam keadaan tidak menentu itu, seorang ahli sihir dari kalangan mereka bernama Samiri mengambil kesempatan menyebarkan perbuatan syirik. Dia juga mengatakan Musa tersesat dalam mencari tuhan dan tidak akan kembali. Ketika itu juga, Samiri membuat sapi betina daripada emas. Dia memasukkan segumpal tanah, bekas dilalui tapak kaki kuda Jibril ketika mengetuai Musa dan pengikutnya menyeberangi Laut Merah. Patung itu dijadikan Samiri bersuara.(Menurut cerita, ketika Musa dengan kudanya mahu menyeberangi Laut Merah bersama kaumnya, Jibril ada di depan terlebih dulu dengan menaiki kuda betina, kemudian diikuti kuda jantan yang dinaiki Musa dan pengikutnya. Kemudian Samiri menyeru kepada orang ramai: “Wahai kawan-kawanku, rupanya Musa sudah tidak ada lagi dan tidak ada gunanya kita menyembah Tuhan Musa itu. Sekarang, mari kita sembah anak sapi yang diperbuatkan daripada emas ini. Ia dapat bersuara dan inilah tuhan kita yang patut disembah.”

Selepas itu, Musa kembali dan melihat kaumnya menyembah patung anak sapi. Beliau marah dengan tindakan Samiri.

Firman Allah: “Kemudian Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan bersedih hati. Berkata Musa; wahai kaumku, bukankah Tuhanmu menjanjikan kepada kamu suatu janji yang baik? Apakah sudah lama masa berlalu itu bagimu atau kamu menghendaki supaya kemurkaan Tuhanmu menimpamu, kerana itu kamu melanggar perjanjianmu dengan aku.”

Musa bertanya Samiri, seperti diceritakan dalam al-Quran: “Berkata Musa; apakah yang mendorongmu berbuat demikian Samiri? Samiri menjawab: Aku mengetahui sesuatu yang mereka tidak mengetahuinya, maka aku ambil segenggam tanah (bekas tapak Jibril) lalu aku masukkan dalam patung anak sapi itu. Demikianlah aku menuruti dorongan nafsuku.”

Kemudian Musa berkata: “Pergilah kamu dan pengikutmu daripadaku, patung anak sapi itu akan aku bakar dan lemparkannya ke laut, sesungguhnya engkau akan mendapat seksa.”Umat Nabi Musa bersifat keras kepala, hati mereka tertutup oleh kekufuran, malah gemar melakukan perkara terlarang, sehingga sanggup menyatakan keinginan melihat Allah, baru mahu beriman.

Firman Allah: “Dan ingatlah ketika kamu berkata: Wahai Musa, kami tidak akan beriman kepadamu sebelum kami melihat Allah dengan terang, kerana itu kamu disambar halilintar, sedangkan kamu menyaksikannya. Selepas itu Kami bangkitkan kamu selepas mati, supaya kamu bersyukur.”

Kezaliman Firaun

Allah memberikan banyak nikmat kepada Bani Israel, antaranya dibebaskan daripada kezaliman Firaun, menjalani kehidupan di kawasan subur, mempunyai Taurat dan rasul di kalangan mereka, tetapi mereka tidak bersyukur, malah memberikan pelbagai alasan. Mereka juga membelakangi wahyu Allah kepada Musa supaya berpindah ke Palestin. Alasan diberikan kerana mereka takut menghadapi suku Kan’an. Telatah Bani Israel yang pengecut itu menyedihkan hati Musa, lalu beliau berdoa: “Ya Tuhanku, aku tidak menguasai selain diriku dan diri saudaraku Harun, maka pisahkanlah kami dari orang fasik mengingkari nikmat dan kurniaMu.”

Hukuman Bani Israel yang menolak perintah itu ialah Allah mengharamkan mereka memasuki Palestin selama 40 tahun dan selama itu mereka berkeliaran di atas muka bumi tanpa tempat tetap.Mereka hidup dalam kebingungan sehingga semuanya musnah. Palestin kemudian dihuni oleh generasi baru.

Bani Israel juga memperlekehkan rasul mereka, yang dapat dilihat melalui kisah sapi seperti dalam surah al-Baqarah: “Dan ingatlah ketika Musa berkata kepada kaumnya, sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih sapi betina. Mereka berkata; apakah kamu hendak menjadikan kami bahan ejekan…”

Musa meninggal dunia ketika berusia 120 tahun, tetapi ada pendapat menyatakan usianya 150 tahun di Bukit Nabu’, tempat diperintahkan Allah untuk melihat tempat suci yang dijanjikan, iaitu Palestin. Tetapi beliau tidak sempat memasukinya.

Wabak Mesir

Wabak Mesir (Ibrani: מכות מצרים, Makot Mitzrayim) atau Sepuluh Wabak (עשר המכות, Eser Ha-Makot) merupakan sepuluh bencana yang diturunkan kepada masyarakat Mesir purba oleh Tuhan dalam kitab lama Exodus, bab 7 – 12, untuk memaksa Firaun (kebarankalian Ramesses II, yang dikatakan firaun bagi Penindasan Horemheb) untuk membebaskan Bani Israel.

Al-Quran tidak menyebutkan sepuluh bencana ini seperti yang disebutkan dalam Injil dan Taurat dengan panjang tetapi Quran menyebutkan secara jelas 5 penderitaan (surat 7:133) iaitu:

(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan dan belalang, dan kutu dan katak dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.

Lukisan John Martin berkenaan bencana hujan batu berapi

Wabak tersebut adalah:

  1. (Exodus 7:14-25) sungai dan punca air lain bertukar menjadi darah (‘Dam’)
  2. (Exodus 7:26-8:11) reptilia (dipercayai katak dan kodok) (‘Tsfardeia’)
  3. (Exodus 8:12-15) kutu (‘Kinim’)
  4. (Exodus 8:16-28) ‘Arov’, yang bermakna sama ada lalat, haiwan liar atau kumbang
  5. (Exodus 9:1-7) penyakit pada ternakan dan tanaman (‘Dever’)
  6. (Exodus 9:8-12) bisul dan kudis yang tak terubat (‘Shkhin’)
  7. (Exodus 9:13-35) ribut hujan batu yang berapi (‘Barad’)
  8. (Exodus 10:1-20) belalang juta (‘Arbeh’)
  9. (Exodus 10:21-29) kegelapan (‘Choshech’)
  10. (Exodus 11:1-12:36) kematian anak sulung (‘Makat Bechorot’)

Walau bagaimanapun, semua wabak tersebut tidak mengena Bani Israil dan harta mereka dan wabak terakhir tersebut dihindari dengan melakukan korban kambing Paschal, menandakan pintu rumah mereka dengan darah kambing dan memakan daging korban tersebut yang telah dipanggang bersama dengan Matzot (“Roti Orang Miskin” לחם עוני) dalam satu jamuan keraian. Taurat menerangkan yang Tuhan melintasi melalui Mesir untuk mengambil nyawa semua anak sulung, tetapi hanya lintas lalu (yang kemudian diingati sebagai “Passover” – lintas lalu) rumah yang mempunyai tanda darah kambing pada pintu mereka. Wabak inilah yang membuatkan Firaun akhirnya mengalah dan membebaskan Bani Israil ke mana sahaja mereka mahu pergi.

Taurat turut mengaitkan arahan Tuhan kepada Nabi Musa a.s. yang peristiwa pelarian Bani Israil haruslah disambut dan diraikan setiap tahun pada cuti Passover (“Pesah” פסח); upacara yang memperingati keadaan ketika kaum Israil melarikan diri. Taurat turut menambah yang Tuhan membiarkan anak sulung kelahiran Bani Israil sebagai rasional kepada rukun penebusan anak sulung (Exodus 13:11-16). Peristiwa ini juga diingati dalam puasa anak sulung pada hari sebelum Passover yang secara tradisinya tidak di dilakukan kerana perayaan siyum diadakan yang membuatkan puasa tersebut tidak perlu.

Isi kandungan

Wabak-wabak

Berikut merupakan ringkasan wabak yang tertera dalam bab 7-12 Exodus.

Permulaan (5:1 – 5:9, 7:8 – 7:13)

Musa dan Harun menghadap Firaun dan menyampaikan perintah Tuhan agar membenarkan Kaum Israil dilepaskan untuk menyambut hari suci. Selepas penolakan pertama oleh Firaun, Tuhan menghantar Musa dan Harun untuk menunjukkannya tanda mukjizat sebagai amaran – iaitu tongkat yang dipegang Harun bertukar menjadi ular. Para ahli sihir Firaum turut mampu menukarkan tongkat mereka menjadi tali tetapi tongkat tadi menelan semua ular ahli sihir. Firaun tetap tidak goyah pendiriannya.

Darah (7:14 – 7:25) דם

Wabak pertama adalah darah. Tuhan memerintahkan Harun untuk turun ke sungai Nil bersama tongkat lalu semua air bertukar mejadi darah. Dengan itu, segala ikan di dalam sungai mati lalu memberikan Mesir bau yang busuk. Punca air bagi masyarakat Mesir adalah telaga (7:19). Ahli sihir Firaun turut menunjukkan yang mereka mampu menukarkan air kepada darah juga. Ini membuatkan Firaun tetap tidak akur pada permintaan yang dibawa Musa. Wabak ini berlarutan selama tujuh hari.

Katak (7:26 – 8:11) צפרדע

Wabak Mesir kedua ialah katak. Tuhan memerintahkan Harun untuk membentengkan tongkatnya ke atas air, lalu berduyun-duyun katak muncul dan memenuhi Mesir. Ahli sihir Firaun juga mampu menambahkan wabak ini dengan sihir mereka. Walau bagaimanapun, disebabkan mereka tidak mampu menhilangkannya, Firaun terpaksa memenuhi permintaan Musa untuk mengalihkan katak-katak tersebut. Untuk membuktikan yang wabak tersebut adalah hukuman Tuhan, Musa membiarkan Firaun memilih masa untuk semua itu berakhir. Firaun memilih hari berikutnya dan semua katak mati pada keesokan harinya. Tetapi, Firaun membatalkan kebenaran dan Bani Israil terpaksa tinggal di Mesir.

Pinjal, pijat atau kutu (8:12 – 8:15) כינים

Wabak ketiga ialah pinjal. Tuhan memerintahkan Harun untuk membawa tongkat dan membentangkannya pada debu yang kemudian bertukar menjadi pinjal yang sangat banyak hingga masyarakat Mesir tidak mampu mengusirnya. Ahli sihir memanggil hal ini sebagai “Jari Tuhan” memandangkan mereka tidak mampu melakukannya dengan sihir mereka.

Haiwan atau lalat (8:16 – 8:28) ערוב

Wabak keempat Mesir ialah Arov. Peringatan selalunya merujukkan perkataan ini sebagai lalat, tetapi ada yang memahaminya sebagai haiwan liar, yang memampu membahayakan manusia, tenakan dan tanaman. Taurat menegaskan yang arov hanya datang kepada masyarakat Mesir (Qibti) dan tidak mempengaruhi Tanah Goshen (tempat orang Yahudi menetap). Firaun meminta Musa untuk menghilangkan wabak ini dan berjanji untuk membenarkan Bani Israil menyembah dan beribadat kepada Tuhan di tempat lain. Walau bagaimanapun, selepas wabak tersebut pulih, Firaun tetap berkeras hati dan mengingkari janjinya.

Wabak (9:1 – 9:7) דבר

Wabak yang kelima adalah wabak sebenar iaitu penyakit kulit yang menjangkiti ternakan masyarakat Mesir iaitu kuda, keldai, unta, lembu, biri-biri dan kambing. Ternakan Bani Israil tidak terlibat dan sekali lagi Firaun tidak berkompromi.

Bisul (9:8 – 9:12) שחין

Wabak keenam adalah Shkhin (sh’chin). Shkhin adalah sejenis penyakit kulit yang lazimnya diterjemahkan sebagai “bisul“. Tuhan memerintahkan Musa dan Harun untuk mengambil dua genggam penuh debu dari perabot yang telah terbakar yang Musa taburkan ke udara di hadapan Firaun. Debu tersebut menghasilkan Shkhin yang bernanah pada masyararakat Mesir dan ternakan mereka. Ahli sihir turut terjangkit seperti yang lain dan tidak mampu mengubatinya sendiri seperti juga yang lain.

Ribut taufan (hujan batu berapi) (9:13 – 9:35) ברד

Wabak ketujuh adalah ribut yang memusnahkan. Tuhan memerintahkan Musa untuk merengangkan tongkatnya ke udara yang menjadi tempat ribut bermula. Ia adalah lebih pelik berbanding wabak sebelumnya kerana hujan batu yang menghujani beserta dengan api. Hujan batu tersebut memusnahkan kebun dan ladang serta masyarakat Mesir dan ternakan mereka. Ribut tersebut melanda seluruh Mesir kecuali Tanah Goshen. Firaun meminta Musa untuk mengalihkan ribut tersebut dan berjanji untuk membenarkan Bani Israil untuk beribadat kepada Tuhan. Sebagai petunjuk kekuasaan Tuhan ke atas dunia, ribut tersebut berhenti sebaik sahaja Musa berdoa kepada Tuhan – hujan batu yang masih di atas tidak turun lagi malah terus hilang. Walau bagaimanapun, setelah ribut reda, Firaun masih berkeras hati dan mengingkari janjinya.

Belalang juta (10:1 – 10:20) ארבה

Wabak kelapan Mesir adalah belalang juta. Sebelum itu, Tuhan telah memberitahu Musa yang mulai saat itu, Dia akan “mengeraskan hati Firaun” (seperti yang dijanjikan) supaya Firaun tidak mengalah dan mukjizat yang lainnya akan tetap berlaku.

Seperti juga wabak sebelumnya, Musa menghadap FIraun dan memberi amaran kepadanya akan penularan wabak belalang juta. Para pegawai Firaun merayu kepada Firaun untuk membebaskan kaum Yahudi pergi daripada merana akan kesan yang dihadapi dari sekumpulan besar belalang juta tetapi Firaun tetap tidak mahu melepaskan mereka. Dia mencadangkan satu tolak ansur: Kaum lelaki Bani Israil dibenarkan pergi tetapi wanita, kanak-kanak dan ternakan perlu ditinggalkan di Mesir. Musa mengulangi perintah Tuhan yang setiap manusia dan haiwan perlu dilepaskan pergi tetapi Firaun tetap menolak.

Tuhan kemudian memerintahkan Musa merentangi tongkat baginda dan angin menderu dari timur. Angin tersebut berterusan pada hari yang berikutnya dan membawa kawanan belalang juta. Kawanan tersebut memenuhi langit dan menggelapkan Mesir. Kawanan tersebut mengerumuni ladang hinggakan tiada tumbuhan dan pohon yang tertinggal. Sekali lagi Firaun meminta Musa mengalihkan wabak ini dan berjanji untuk membebaskan Bani Israil ke padang pasir untuk beribadat. Seperti yang dijanjikan, Tuhan tetap mengeraskan hati Firaun dan dia tidak membenarkan kaum Israil dibebaskan.

Kegelapan (10:21 – 10:29) חושך

Tuhan mengarahkan Musa untuk melunjurkan tangan baginda ke seluruh Mesir dan ini menghasilkan kegelapan yang benar-benar sempurna dan berlarutan selama tiga hari. Kegelapan ini bukanlah kegelapan biasa yang boleh dielakkan. Walau bagaimanapun, kaum Israil mampu melihat dengan terang dan baik. Selepas wabak tersebut tamat, Firaun memanggil Musa dan cuba untuk tawar-menawar. Firaun menawarkan untuk membebaskan semua Bani Israil pergi tetapi mereka perlu meninggalkan ternakan mereka di Mesir. Musa menolak syarat ini malah Firaun perlu menyediakan korban selagi Bani Israil boleh pergi. Ini menaikkan kemarahan Firaun dan dia mengancam Musa dengan kematian yang tidak akan ada dan tidak pernah ada lagi seperti itu lagi.

Kematian anak sulung (11:1 – 12:36) מכת בכורות

Wabak kesepuluh dan terakhir Mesir adalah kematian anak lelaki pertama dari semua kalangan rakyat Mesir – tiada yang terlepas, dari anak lelaki pertama golongan hamba terendah hinggalah putera sulung Firaun sendiri, termasuklah anak pertama haiwan ternakan mereka. Inilah azab yang paling dahsyat yang melanda Mesir yang akhirnya membuatkan Firaun beralah dan membenarkan Bani Israil pergi.

Tuhan memberitahu Musa yang wabak ini akan membuatkan Firaun membenarkan Bani Israil pergi dan memerintahkannya untuk membuat semua bersedia. Tuhan juga memerintah Musa untuk menjalankan upacara Pesah – mengorbankan seekor kambinig untuk Tuhan, dan memakan Matzot (“Roti Orang Miskin” לחם עוני). Tuhan memberitahu Musa untuk memberitahu kaum Yahudi untuk menandakan pintu rumah mereka dengan darah kambing supaya wabak maut hanya melintas lalu kawasan mereka.

Pada tengah malam, Tuhan sendiri datang ke Mesir dan memerintahkan Malaikat maut untuk mengambil semua nyawa anak lelaki pertama masyarakat Mesir termasuk putera pertama Firaun. Pada malam itu, tangisan yang hebat berlaku di Mesir yang tidak pernah dan tidak akan ada lagi seperti itu. Seperti yang diberitahu, tiada anak sulung lelaki Israil yang terbunuh malam itu.

Selepas itu, Firaun dengan marah dan sedih memerintahkan Bani Israil untuk pergi dan membawa apa yang mereka mahu. Kaum Israil tidak teragak-agak dan pada penghujung malam, Musa mengetuai mereka keluar dari Mesir.

Kesejarahan

Kebanyakan ahli sains dan pemikir sekular percaya yang kisah wabak ini hanyalah mitos dan dongeng atau penceritaan turun-temurun daripada bencana yang tidak berkaitan. Ada yang percaya yang terdapat kisah asal di sebalik kewujudan wabak.

Kaji purba

Terdapat bahan arkeologi yang ditemui, seperti oleh William F. Albright, yang boleh dijadikan sebagai bukti Sepuluh Wabak; sebagai contoh, terdapat palung air kuno yang ditemui di El Arish mempunyai tanda hieroglif yang menyatakan akan tempoh kegelapan. Albright, dan ahli arkeologi lain mendakwa yang bukti seperti itu, begitu juga dengan kajian tentang kawasan yang kononnya dilalui oleh Bani Israil selepas pelarian itu, sebahagiannya tidak dapat dipertahankan. Walau bagaimanapun, hujah mereka tidak dapat memujuk banyak ahli arkeologi yang pada mulanya tidak percaya yang perkara seperti itu tepat.

Papirus Ipuwer Mesir menyatakan yang satu siri bencana melanda Mesir termasuklah sungai menjadi darah, lelaki berkelakuan seperti burung ibis, dan tanah menjadi terbalik. Walau bagaimanapun, perkara ini lazimnya akan difikirkan sebagai bencana alam yang panjang dan biasa bagi satu tempoh kurun, seperti apa yang memusnahkan Kerajaan Lama. Dokumen tersebut lazimnya ditarikhkan kepada penghujung Kerajaan Pertengahan Mesir, atau yang lebih jarang, kepada permulaannya, bersesuaian dengan kemusnahan Kerajaan Lama, tetapi dalam kedua-dua kes adalah lama sebelum tarikh yang dikatakan berlaku bagi Exodus.

Immanuel Velikovsky memutuskan yang papirus Mesir itu sebenarnya memang menerangkan peristiwa Exodus, bersama kejadian bencana yang difikirkannya berlaku sebelum itu; yang dalam pendapatnya Kronologi Mesir adalah salah bagi beberapa ratus tahun.[1] Teorinya tidak menerima kredibiliti oleh ahli kaji Mesir purba dan juga ahli Kristian.

Penerangan alam

Seperti yang dinyatakan di atas, sesetengah penulis sains dan pengkaji Injil mengatakan yang wabak tersebut bukanlah mukjizat luar biasa tetapi adalah bencana alam yang biasa. Penerangan berdasarkan alam telah dicadangkan bagi kebanyakan fenomena:

  • (wabak 1—air menjadi darah, ikan mati)
    • Kemerahan air Nil mungkin disebabkan pencemaran yang disebabkan aktiviti gunung berapi, yang bergantung kepada tanah lanar Nil, boleh menjadikan Nil bertukar merah darah dan tidak boleh diminum. Hujan lebat di kawasan yang bertanah merah di Tasik Victoria boleh menyebabkan air kemerahan melimpahi hilir.
    • Terdapat juga menyatakan yang alga toksik merah (pasang merah) boleh menghasilakn toksin yang banyak dan mampu membunuh ikan.
    • Gempa bumi boleh menyebabkan letusan limnik seperti di Lake Nyos.
  • (wabak 2—katak) Hawar pada air yang menyebabkan ikan mati membuatkan katak meninggalkan kawasan air dan, kemungkinan, seterusnya mati.
  • (wabak 3 dan 4—pinjal dan lalat) Kekurangan katak di boleh menyebabkan populasi serangga bertambah secara mendadak.
  • (wabak 5 and 6— penyakit pada ternakan dan bisul) Terdapat pinjal dan lalat yang mampu menyebarkan penyakit berjangkit; peningkatan bilangannya mampu menyebarkan sakit kulit dengan cepat.
  • (wabak 7—hujan batu) Aktiviti gunung berapi bukan sahaja boleh membawa debu, tetapi batu belerang yang juga mampu mengubah sistem cuaca, yang boleh menghasilkan hujan batu. Hujan batu juga boleh berlaku sebagai cuaca semula jadi biasa
  • (wabak 8—belalang juta) Keberatan hujan batu mampu memusnahkan ladang lalu meninggalkan sedikit sahaja makanan kepada serangga dan haiwan lain. Tanaman yang tinggal sudah tentu menjadi habuan dan menjadi sasaran kawanan belalang juta. Belalang juta juga mungkin bertambah akibat berkurangnya pemangsa. Tanpa penjelasan tersebut, belalang juta memang adalah perkara biasa kini.
  • (wabak 9—kegelapan) Terdapat beberapa punca kegelapan yang luar biasa: gerhana matahari, ribut pasir, atau disebabkan kawanan belalang juta yang sangat banyak hingga mampu menghalang cahaya matahari.
  • (wabak 10—kematian anak pertama)
    • Jika wabak terakhir agak “memilih”, ia mungkin disebabkan keracunan makanan ketika tempoh kegelapan sama ada oleh belalang juta ataupun kulapuk hitam Cladosporium. Apabila orang baru terlepas daripada kegelapan, lazimnya anak pertama diberi keutamaan kerana mereka melakukan lebih kerja, lalu ini boleh menyebabkan mereka terkena toksin atau penyakit yang dibawa makanan.
    • Dalam doumentari 2006, Exodus Decoded, pembuat filem berbangsa Yahudi dari Kanada, Simcha Jacobovici membuat hipotesis yang pemilihan wabak kesepuluh tersebut adalah serupa seperti bencana 1986 di Lake Nyos yang berkaitan dengan aktiviti geologi yang menyebabkan wabak sebelumnya berada dalam peristiwa berantai. Hipotesis tersebut adalah wabak berlaku sebaik selepas letusan Thera (kini dikenali sebagai Santorini), yang difikirkan berlaku sekitar antara 1450 SM dan 1650 SM. Letusan menghasilkan rantaian peristiwa yang menyebabkan wabak lalu kematian anak sulung. Jacobovici mencadangkan yang anak pertama masyarakat Mesir sering tidur berhampiran pintu manakala anak yang lain di tempat lebih tinggi ataupun di atas bumbung. Seperti di Tasik Nyos, apabila karbon dioksida atau gas bertoksik lain terlepas dari ketegangan permukaan dari bahan air sekitar sama ada dari aktiviti geologi mahupun penepuan, gas tersebut lebih berat berbanding udara biasa lalu “membanjiri” kawasan sekitar dengan menggantikan oksigen dan membunuh sesiapa sahaja di laluannya Ahli rumah Yahudi terlepas kerana mereka telah disuruh menyambut upacara Passover pertama mereka.

Letusan gunung berapi yang berlaku pada zaman dahulu dan mampu menyebabkan wabak boleh berlaku jika berlaku pada waktu yang tepat adalah letusan gunung berapi Thera 650 batu ke barat laut Mesir. Dikatakan bertarikh sekitar 1628 SM, letusan ini adalah salah satu rekod yang terbesar, menyaingi Gunung Tambora, yang berlaku pada 1816 ketika Tahun Tanpa Musim Panas. Kesan global yang dahsyat ini telah direkodkan pada lapisan simpanan abu yang ditemui di hilir Nil, parut cincin pokok yang membeku di pain bristlecone di barat Amerika Syarikat, dan lapisan debu di litupan ais Greenland, smeua bertarikh yang sama dengan debu dari Thera.

Debu gunung berapi mungkin telah meracunkan Nil, menjadikannya merah, membuatkan katak keluar dari sungai tersebut. Debu dan kekurangan katak dalam sungai mempengaruhi ekologi Mediterranean Timur, kemungkinan menyebabkan wabak kutu, lalat, pinjal, penyakit ternakan dan belalang juta. Debu panas yang bersentuhan dengan kulit boleh menyebabkan wabak bisul dan kudis, jika tidak disebabkan kutu/lalat, ribut disebabkan awan debu Thera lalu menjadikan hujan batu dan debu tersebut menghalang cahaya matahari (fenomena yang didokumenkan pada 1970 ketika letusan Gunung St. Helens) menjadikan siang sangat gelap.

Walau bagaimanapun, semua tarikh letusan ini adalah ratusan tahun sebelum dipercayai berlakunya Exodus; maka letusan tersebut boleh menyebabkan wabak jika salah satu daripada tarikhnya salah atau jika wabak tidak berlaku sebaik sebelum Exodus.

Lihat juga

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s